Mujahidah Fisabilillah

Monday, August 16, 2010

Memperkenalkan Islam kepada Non Muslim

Dakwah kepada orang bukan Islam perlu dilaksanakan dengan penuh hikmah. Di dalam Al-Quran, Allah berfirman dalam surah an-Nahl ayat 125 yang bermaksud:
"Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat peringatan yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik."

Dalam melaksanakan dakwah kepada orang bukan Islam, beberapa perkara penting perlu diperhatikan oleh para pendakwah.
Perkara-perkara tersebut adalah berkaitan dengan latar belakang pendakwah, latar belakang mad'u (orang yang didakwahkan) dan kaedah menyampaikan Islam.

Latar Belakang Pendakwah

Seruan kepada Islam adalah seruan yang berisi. Ia seruan yang bererti dan membawa kesan yang mendalam terhadap pendakwah itu sendiri. Ia juga adalah satu seruan yang terhasil daripada simpulan akidah yang tersemat kuat di dalam hatinya. Ia bukanlah seruan yang dia sendiri tidak mengamalkannya. Jika begitu titik-tolak dakwah, maka sifat-sifat mulia dan Islam yang ada pada diri pendakwah itu sebenarnya adalah sesuatu secara tabi'i sudah dimilikinya.

Tidak sukar bagi pendakwah yang istikamah dengan dakwah untuk melakukan dakwah secara "bil hal" dalam menyahut pepatah Arab "Lisanul hal afsahu min lisanul maqaal" (perbuatan lebih baik daripada lisan). Seorang pendakwah juga secara tabi'inya berdakwah dengan penuh keikhlasan kerana dakwahnya adalah bertolak daripada matlamat hidupnya yang agung, iaitu mencari keredhaan Allah.

Walau bagaimanapun, keikhlasan sahaja tidak mencukupi. Para pendakwah juga perlu mempunyai penguasaan ilmu yang baik dan kepekaan yang tinggi terhadap suasana dakwahnya.

Latar Belakang Mad'u

Seorang pendakwah perlu bijak menganalisa latar belakang mad'unya.Ini akan mamudahkannya mencari jalan terbaik dalam menyampaikan dakwah kepada mad'u tersebut. Antara perkara yang perlu diperhatikan ialah:

i. Minat mad'u terhadap perkara ketuhanan dan agama Islam.
Jika mereka berminat terhadap perkara berkaitan ketuhanan dan agama Islam, adalah lebih mudah untuk mendekati mereka dengan Islam. Jika tidak, mereka perlulah diajak berfikir dahulu tentang Tuhan dan perlu membuktikan kepada mereka tentang kewujudan Tuhan.

ii. Ilmu mad'u terhadap agama Islam.
Jika ilmu mereka mengenai Islam kurang, kemungkinan kekosongan mereka terhadap ilmu tersebut diisi dengan persepsi yang negatif terhadap Islam. Dalam keadaan ini, pendekatan terbaik yang boleh dijalankan oleh pendakwah ialah dengan memberikan penjelasan berkaitan persepsi negatif mereka terhadap Islam.

iii. Keterbukaan fikiran mad'u
Mad'u yang mindanya terbuka lebih mudah dibawa kepada perbincangan mengenai subjek dakwah. Bagi mad'u yang tidak begitu terbuka mindanya, pendakwah memerlukan jalan yang lebih panjang untuk membuka minatnya terlebih dahulu terhadap perkara yang bakal dibincangkan dan memastikannya bersikap lebih positif terhadap usaha dan mesej dakwahnya.

iv. Bersikap negatif terhadap pendakwah.
Mad'u yang bersikap negatif terhadap pendakwah walaupun fikirannya terbuka untuk menerima mesej pendakwah tersebut mungkin terhasil daripada didikan keluarga, suasana hidupnya atau pengalaman silamnya. Sikap positif atau negatif boleh memberi kesan kepada penerimaan seseorang terhadap dakwah, kerana ia adalah suatu sikap yang telah terbina dan sukar diubah daripada individu tersebut. Jika sikapnya positif, adalah lebih mudah untuk pendakwah berkongsi Islam dengannya. Namun, bagi mad'u yang bersikap negatif, ia akan mengambil masa yang agak lama bagi pendakwah untuk mengubah persepsinya terhadap kehidupan beragama dan Islam.

v. Kepentingan peranan keluarga.
Tidakkah Rasulullah saw telah bersabda bahawa keluargalah yang menyebabkan seseorang lahir fitrahnya Islam itu menjadi yahudi, majusi atau nasrani? Oleh itu, persoalan ini cukup penting untuk mengetahui agama apa yang dianutinya dan sejauh mana kuatnya pegangan keluarganya. Walaupun seseorang bukan Islam itu sudah yakin dengan Islam, tetapi faktor keluarganya mungkin akan menghalangnya daripada meneruskan nianya untuk memeluk agama Islam.

vi. Pengetahuan mengenai agama mad'u.
Cara mendekati seorang kristian, hindu, sikh, animist atau agama-agama yang lain adalah berbeza antara satu sama lain. Ini memerlukan pendakwah mempunyai penguasaan yang baik terhadap perbezaan antara agama tersebutdengan Islam supaya pendakwah tersebut melakukan pendekatan yang betul dan berkesan terhadap mad'unya.

('Jom Berdakwah' oleh Tuan Haji Muhammad Abdullah @ nicholas sylvester)

No comments:

Post a Comment